Breastfeeding Welcome Here

Wednesday 2 July 2014

Nota Susu Ibu # 1 : Kebaikan Susu Ibu

Assalamualaikum dan salam sejahtera ibu-ibu yang menyusukan.

Saya akan cuba sebaik mungkin untuk berkongsi dengan kalian semua para ibubapa tentang kebaikan susu ibu.Jadi saya rasanya topik ini amat penting sebagai langkah pertama untuk menjayakan penyusuan susu ibu.Insyallah...

Rasanya semua sudah sedia maklum bahawa susu ibu adalah makanan lengkap untuk bayi terutamanya untuk bayi yang baru dilahirkan.Ia mengandungi zat-zat dan membekalkan sumber nutrisi untuk tumbesaran dan perkembangan otak bayi.Kebaikannya tidak terhad kepada bayi sahaja malah untuk ibu yang menyusu juga. Hasil daripada ibu menyusu bayi memberi kesan yang berpanjangan untuk kedua-dua ibu dan anak.

Kebaikan Susu Ibu Untuk Ibu

Bagi ibu yang baru bersalin, apabila bayi mula menyusu, ia secara langsung membantu mengecutkan rahim selepas bersalin dan mengurangkan pendarahan. Semasa proses pengecutan rahim lebih kurang pada hari ketiga atau keempat selepas bersalin, seorang ibu merasa sakit seperti senggugut sewaktu baby menghisap susu. Tetapi sakitnya tidak lama kerana ia hilang selepas hari kelima. Jika anda merasa sakit, ia adalah sesuatu yang normal dan ini menunjukkan proses pengecutan rahim sedang berlaku.

Penyusuan itu sendiri menjadi seperti “pil perancang” kerana ia dapat menjarakkan kehamilan secara semulajadi. Selepas bersalin, kedatangan haid menjadi lambat semasa penyusuan secara eksklusif.

Menyusu bayi membantu ibu kembali kepada berat badan asal sebelum bersalin. Kajian juga mengatakan ibu yang menyusu bayinya lebih cepat turun berat badan dibandingkan dengan ibu yang menyusu bayinya dengan susu formula.Hal ini kerana semasa mengandung, berat badan ibu akan naik disebabkan pertambahan darah dan lemak dalam badan serta “water retention”. Semua pertambahan ini akan hilang apabila ibu menyusu bayinya. 

Kajian menunjukkan, penyusuan susu ibu dapat mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari serta risiko osteoporosis.

    Kebaikan Susu Ibu Untuk Bayi

    Susu ibu merupakan sumber imunisasi pertama bayi, mengandungi kolostrum yang hanya dikeluarkan pada 3 hari pertama kelahiran, bertindak sebagai antibodi untuk melindungi bayi daripada jangkitan dan alahan. Ini membantu mengurangkan masalah alahan yang mudah terjadi pada bayi. Jikalau bayi selsema, susu ibu boleh mempercepatkan pemulihan daripada selsema.

    Susu ibu mudah hadam serta tidak timbul masalah sistem penghadaman. Oleh itu, bayi anda tidak kerap buang air besar. Mungkin ada ibu-ibu yang risau tentang ini. Ini adalah normal untuk bayi yang menyusu badan secara eksklusif, bayi anda mungkin buang air besar selang 2-3 hari. Ada juga yang seminggu.

    Susu ibu sentiasa ada, memudahkan “on demand feeding” serta sentiasa sedia pada suhu yang tetap. Sungguhpun bekerja, susu ibu boleh diperah dan disimpan dengan mudah sekali.

    Bayi yang disusui lebih daripada 6 bulan membesar dengan risiko rendah untuk mendapat tekanan darah tinggi dan paras cholesterolnya yang rendah.

    Penyusuan bayi menggalakkan ikatan (bonding). Kajian juga menunjukkan bayi yang disusui membesar menjadi seorang dewasa yang bertimbangrasa dan mudah memahami orang lain.
      Kebaikan ibu menyusu bayi memang banyak dan mungkin ada lagi selain daripada yang disebut di atas. Mungkin ada ibu-ibu lain yang tahu dan boleh kongsikan?

      Moga entri ini dapat membantu ibu-ibu bertambah yakin dengan kebaikan menyusu bayi dan menggalakkan lagi untuk meneruskan penyusuan.

      Salam Ikhlas daripada saya.

      1 comment:

      1. Alhamdulillah puas hati dpt menyusukan anak kedua sampai umur 3 tahun. Cuma ralat sbb anak pertama dapat menyusukan tanpa campur selama dua bulan je. Masa tu kurang promotion cara nak perah susu kt pejabat, macamana nak simpan etc

        ReplyDelete

      Apakah Cabaran Penyusuan Yang Anda Hadapi?

       

      Blog Template by BloggerCandy.com